Perjumpaan dengan Andrea Hirata dan Bu Aini - bagbudig

Breaking

Monday, February 3, 2020

Perjumpaan dengan Andrea Hirata dan Bu Aini

Oleh: Hanis Hafizah

Kalau kau bertanyakan aku, siapa penulis yang paling aku kagumi dan suka? Aku akan jawab tanpa berfikir panjang; Andrea Hirata.

Si genius, seorang ahli ekonomi tapi menulis buku sehingga diberi anugerah doktor honoris causa dari University of Warwick dalam sastera.

Aku mula mengenali karya Andrea Hirata melalui movie Laskar Pelangi pada tahun 2010. Ketika itu aku bukanlah manusia yang akan mengulang tengok semula movie, tetapi Laskar Pelangi mampu membuatkan aku mengulanginya berkali-kali sehingga menghasut semua teman-temanku; “Ini movie yang kau wajib kena tengok. Wajib!”

Selepas itu bermulalah aku memburu buku Andrea Hirata. Bukunya yang pertama aku miliki, Maryamah Karpov, seterusnya; Padang Bulan dan Cinta di Dalam Gelas (dwinovel). Buku dwinovel aku ini sudah hilang entah siapa pinjam tak pulangkan.

Bak kata Andrea pagi tadi dalam sesi pelancaran bukunya yang baru; Guru Aini. “Pelajaran nombor 53, jangan pernah pinjamkan buku kau, biarkan mereka beli sendiri.”

Dijawab pula Bang Salman (CEO Bentang Pusaka), pelajaran nombor 101, jangan pernah pulangkan buku yang kau pinjam.
Jadinya, kau jangan minta aku untuk pinjamkan buku-buku tulisan Andrea lagi.

Penulis dan Andrea Hirata

Hanya yang pernah membaca karya Andrea sahaja yang dapat merasai dan mengetahui betapa genius, luar biasa dan magiknya sentuhan tulisan Andrea.

Tema buku-bukunya tak pernah lari dari pendidikan untuk semua, terutama untuk anak-anak miskin. Faktor utama yang membuatnya luar biasa adalah kerana kemampuan Andrea untuk menulis dan mengangkat orang-orang biasa yang pandangan kita sangat biasa tetapi sebenarnya setiap orang adalah luar biasa. Contohnya, pelayan kedai kopi juga ada peranan pentingnya atas dunia ini.

Sekecil-kecil dan seremeh perkara yang kita rasa tidak punya apa-apa, tetapi Andrea mengolahnya dan membuatkan kita sedar sebenarnya sangat penting perkara kecil itu dan mempunyai kesan kepada yang lain. Kau baca dahulu bukunya baru kau faham apa yang aku maksudkan di sini.

Pada mulanya Andrea menulis Laskar Pelangi untuk dipersembahkan kepada gurunya; Bu Muslimah. Kerana beliaulah manusia yang membuatkan Andrea berani bermimpi. Daripada seorang anak kampung di Pulau Belitung, belajar sehingga ke negara Eropah sana.

Pulau Belitung yang mulanya tidak punya apa-apa, sepi tidak diketahui orang, kemudiannya secara tiba-tiba dilawati pelbagai manusia dari seluruh dunia. Semuanya atas jasa Bu Muslimah dan karya Laskar Pelangi.

Pulau yang sederhana tetapi mempunyai 1001 cerita. Kau bayangkanlah buku ini telah pun diterjemah kepada lebih 44 bahasa dan dijual di lebih 100 buah negara. Entah ada ke tidak penulis Malaysia yang capai tahap sebegini?

Ketika ditanyakan kepada Andrea, apakah perkara yang memotivasikan beliau untuk terus menulis? Jawapannya beliau sangat membumi dan menginspirasikan. Beliau bukanlah menulis kerana peminatnya. Bukanlah kerana wang.

Katanya “We don’t write to make people think. But to make people feel.” Menulis juga adalah kerana untuk mencerdaskan masyarakat. Apabila pembaca merasa melalui hati, barulah membekas kesannya. Nawaitu yang penting.

Untuk terus menulis, juga perlu banyak membaca. Terpana aku apabila Andrea mengatakan beliau ada 10,000 dvd (drama dan movie) dan koleksi buku-bukunya yang mencecah sehingga 1 tan. Bagaimana beliau cari masa pun aku tak tahu.

Bertuah sekali rasanya, hari ini macam satu mimpi, berpeluang berjumpa dengan individu luar biasa ini, Andrea Hirata dan juga Bu Aini; orang yang menginspirasikan Andrea untuk menulis buku terbarunya, Guru Aini, prekuel bagi buku Orang-orang Biasa. Ya, kebanyakan watak-watak dan cerita di dalam semua buku Andrea adalah diinspirasikan dari kisah benar lagi nyata.

Andrea mengatakan, mencabar betul baginya menulis buku Guru Aini ini. Bagaimana hendak menerjemahkan dan menyampaikan falsafah matematik di dalam buku ini. 

“Matematik itu seperti cinta pertama yang gagal. Setiap orang mengalaminya, tetapi tak mahu membicarakannya,” – Andrea Hirata.

Ah, baru dengar Andrea sebut sebegini pun sudah tak sabar nak membacanya. Nampak tak, pentingnya sebenarnya pelajaran falsafah supaya membuatkan kita menjadi makhluk yang menggunakan akal untuk berfikir dengan baik.

Ketika aku meminta nasihat daripada Andrea, katanya “Aku yang perlu dinasihati. Jangan liar-liar.” Lalu, beliau ketawa. Sungguh, berjumpa dengannya membuatkan kita sangat terinspirasi.

Titip Bu Aini kepadaku di dalam buku Guru Aini;

“Dear Hanis, setiap manusia terlahir dengan pesan ilahi yang diembannya (dipertanggungjawabkan). Menulis adalah cara untuk menyebarkan pesan tersebut. So, mulailah menulis, agar kau tak berdosa karena tak menyampaikan pesan Ilahi yang dititipkan padamu.”

Sumber tulisan dan foto: Hanis Hafizah

No comments:

Post a Comment